Budayakan konsep belajar sepanjang hayat


PAPAR, 8 Oktober - Golongan mualaf di negeri Sabah diminta menjadikan konsep belajar sepanjang hayat yang diterapkan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sebagai satu budaya dalam kehidupan harian mereka.Yang Dipertua USIA, Tun Sakaran Dandai berkata, begitu penting sekali bagi memastikan mereka dapat mendalami dan mengamalkan ajaran Islam sebenar sekiranya konsep ini diterapkan dengan sepenuhnya dalam kehidupan seharian. Selain itu, mereka juga harus menerapkan konsep belajar sepanjang hayat yang akan dapat mendedahkan mereka kepada lebih banyak ilmu yang dapat membantu mereka membina keyakinan diri seterusnya menjadi umat Islam yang berkualiti. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis rumah terbuka bersama saudara baru anjuran USIA Papar di sini semalam. Turut hadir Naib Yang Dipertua USIA, Datuk Aidi Moktar; Setiausaha Agung USIA, Datuk Abdullah Hussin; Ketua USIA bahagian Papar, Suhaili Harun dan Penasihat Wanita USIA Toh Puan Siti Rokaiyah Abdullah. Menurut Sakaran, USIA telah memainkan peranan berterusan bagi memberikan bimbingan dan bantuan kepada saudara baru di negeri ini. Menurutnya lagi, antara aktiviti yang sedang giat dilaksanakan bagi membantu saudara baru pada masa ini adalah program Baitul-Nur yang telah melalui fasa pertama. Sambutan daripada saudara baru terhadap program ini mendapat sambutan di mana mereka diberikan bimbingan selama enam bulan dalam bidang syariah, usuluddin dan akidah. Sehubungan dengan itu, USIA kini bercadang meneruskan program Baitul- Nur fasa kedua di mana sebahagian daripada peserta fasa pertama akan diberikan kursus lanjutan sebagai persediaan menjadi tenaga pendakwah. Sementara itu beliau berkata, budaya kunjung mengunjung yang diamalkan terutamanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri harus terus diamalkan kerana mampu mengeratkan perpaduan antara kaum. Semangat ini perlu kita pertahankan kerana ia akan menjadi elemen yang cukup penting bagi sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum untuk terus bersatu padu bagi mempastikan tahap keharmonian dan kemajuan terus dikekalkan.
0 Responses