Budayakan konsep belajar sepanjang hayat


PAPAR, 8 Oktober - Golongan mualaf di negeri Sabah diminta menjadikan konsep belajar sepanjang hayat yang diterapkan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sebagai satu budaya dalam kehidupan harian mereka.Yang Dipertua USIA, Tun Sakaran Dandai berkata, begitu penting sekali bagi memastikan mereka dapat mendalami dan mengamalkan ajaran Islam sebenar sekiranya konsep ini diterapkan dengan sepenuhnya dalam kehidupan seharian. Selain itu, mereka juga harus menerapkan konsep belajar sepanjang hayat yang akan dapat mendedahkan mereka kepada lebih banyak ilmu yang dapat membantu mereka membina keyakinan diri seterusnya menjadi umat Islam yang berkualiti. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis rumah terbuka bersama saudara baru anjuran USIA Papar di sini semalam. Turut hadir Naib Yang Dipertua USIA, Datuk Aidi Moktar; Setiausaha Agung USIA, Datuk Abdullah Hussin; Ketua USIA bahagian Papar, Suhaili Harun dan Penasihat Wanita USIA Toh Puan Siti Rokaiyah Abdullah. Menurut Sakaran, USIA telah memainkan peranan berterusan bagi memberikan bimbingan dan bantuan kepada saudara baru di negeri ini. Menurutnya lagi, antara aktiviti yang sedang giat dilaksanakan bagi membantu saudara baru pada masa ini adalah program Baitul-Nur yang telah melalui fasa pertama. Sambutan daripada saudara baru terhadap program ini mendapat sambutan di mana mereka diberikan bimbingan selama enam bulan dalam bidang syariah, usuluddin dan akidah. Sehubungan dengan itu, USIA kini bercadang meneruskan program Baitul- Nur fasa kedua di mana sebahagian daripada peserta fasa pertama akan diberikan kursus lanjutan sebagai persediaan menjadi tenaga pendakwah. Sementara itu beliau berkata, budaya kunjung mengunjung yang diamalkan terutamanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri harus terus diamalkan kerana mampu mengeratkan perpaduan antara kaum. Semangat ini perlu kita pertahankan kerana ia akan menjadi elemen yang cukup penting bagi sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum untuk terus bersatu padu bagi mempastikan tahap keharmonian dan kemajuan terus dikekalkan.

Kempen Pakaian Sopan AB


KOTA KINABALU, 9 Oktober - Kolej Kediaman E telah lama memperkenalkan tatatertib menggunakan pakaian sopan dan tidak menjolok mata. Sehubungan dengan itu, pada bulan Oktober 2009 ini, Kolej Kediaman AB juga cuba melangkah maju untuk meneruskan Kempen berpakaian sopan dengan anjuran Exco Kerohanian dan Sahsiah Kolej Kediaman AB sesi 2008/2009. Peraturan ini perlu dipatuhi oleh setiap penghuni AB bagi menjaga identiti sebagai mahasiswa yang berkualiti. dan Setiap pelajar yang masuk ke kafeteria hendaklah sentiasa berpakaian kemas dan bersopan. Pelajar lelaki tidak dibenarkan memakai seluar pendek dan berbaju singlet semasa ke kafeteria. Pelajar perempuan tidak dibenarkan berpakaian singlet, menjolok mata dan berseluar pendek atau berskirt pendek semasa ke kafeteria ataupun di luar bilik kediaman. Penghuni kolej tidak dibenarkan berkelakuan menjolok mata seperti berdua-duaan di sekitar kolej dalam keadaan mencurigakan pada bila-bila masa. Amalkan berpakaian sopan seperti menggunakan baju kemeja biasa, baju T berkolar, berkasut, berseluar panjang, berskirt panjang di bawah paras lutut terutamnya di khalayak ramai seperti dewan kuliah, perpustakaan, pejabat, dan kafeteria atau kantin. Pelajar yang didapati melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib universiti. Dengan slogan ‘ Memacu Perubahan Sahsiah Mahasiswa’ pasti dapat diwujudkan jikalau mahasiswa di Kolej Kediaman AB mematuhi peraturan berpakaian sopan walau di mana-mana kita berada.

Kualiti sebagai mahasiswa

KOTA KINABALU, 8 Oktober – Mahasiswa di UMS perlu dibentuk sebagai pemimpin yang berkesan dan amat berbeza dari pengurus. Dengan itu, seorang pengurus itu mampu membuat keputusan yang baik dan melaksanakan keputusannya mengikut prosedur dan sistem yang telah ditetapkan. Pemimpin membawa idea baru, suka mengambil risiko, melihat sesuatu dengan visi yang jauh, dan sebagainya. Sebagai contohnya, kita perlu teruskan usaha yang dilakukan oleh 279 orang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Majlis Perarakan Berjubah Graduan UMS di bandar raya Kota Kinabalu Perarakan bermula pada pukul 9 pagi itu bermula dari Dewan Masyarakat menuju ke Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada jarak kira-kira satu kilometer. Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon ketika berucap berharap, majlis tersebut akan merapatkan hubungan antara UMS dan DBKK khususnya pihak pengurusan. Perarakan yang segak dan bergaya ini akan dapat menaikan semangat pelajar UMS untuk maju ke hadapan dan tidak menjadi insan yang lesu dalam menjalankan amanah sebagai mahasiswa yang berjaya. Usaha sebegini amat perlu sekali dalam membentuk sikap untuk mencapai kecemerlangan. Usaha ini juga tidaklah terhad hanya kepada segala nilai positif yang diperlukan untuk mempertingkatkan nilai moral semata. Ia juga boleh digunakan untuk menjadikan sesuatu amalan yang perlu sehingga menjadi tabiat. Pada prinsipnya, usaha ini berdasarkan kepada proses melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang sehingga perkara ini tidak lagi menjadi berat untuk dilakukan. Sebaliknya, apabila sesuatu perkara dapat dijadikan tabiat, ia bukan sahaja mudah dilakukan, tetapi ia akan dapat dilakukan dengan perasaan kepuasan.

Open House UMS 2009

KOTA KINABALU, 6 0ktober - Kini umat Islam telah meraikan Aidilfitri dengan hati yang senang, masyarakat terus mengadakan rumah terbuka, sekali gus menjadikannya sebagai wadah untuk mengeratkan silaturahim serta perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum. Naib Canselor, UMS. Profesor Datuk Dr. Kamaruzaman Hj. Ampon dan Prof. Datin Dr. Ann Anton akan mengadakan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri pada hari Isnin yang bertarikh 5 Oktober 2009. Masa berlangsungnya majlis itu dari jam 2 sehingga 5 petang. Lokasi rumah Naib Canselor UMS ini terletak di Lorong Permai Valley, jalan Tuaran Kota Kinabalu Sabah. Inilah peluang untuk melihat dari dekat rumah Naib Canselor UMS yang digambarkan mewah itu. Sambutan perayaan ini oleh masyarakat Malaysia yang mempunyai kepercayaan lain mencerminkan perpaduan, keharmonian dan toleransi agama yang wujud dalam masyarakat Malaysia yang berbilang budaya. Amalan rumah terbuka perlu menjadi tradisi bukan sahaja memberi peluang kepada umat Islam berkunjung, tetapi juga kaum lain untuk sama-sama memeriahkan sambutan, sekali gus mengeratkan silaturrahim dan perpaduan. Majlis ini menjemput semua pelajar UMS untuk datang berkunjung dan menziarahi ke rumahnya itu. Pengangkutan bas telah disediakan sebanyak tiga kali setiap 1 jam untuk memudahkan para pelajar pergi ke majlis tersebut.

Kesibukan Konvokesyen ke11


KOTA KINABALU, 8 Oktober - Majlis Konvokesyen UMS Ke-11 akan diadakan pada 10 hingga 13 Oktober 2009 dengan dirasmikan oleh TYT Tun Seri Panglima Hj. Ahmadshah B. Abdullah manakala Majlis Tamu Gadang pula akan dibuka untuk orang awam dan pelajar UMS pada 6 hingga 13 Oktober yang berlangsung di sekitar Dewan Canselor, UMS. Majlis Konvokesyen mempunyai makna dan sejarahnya tersendiri kerana ia merupakan satu tindakan penerimaan atau penganugerahan ijazah akademik dari universiti atau upacara sedemikian. Perkataan "konvokesyen" berasal dari perkataan bahasa Inggeris convocation yang tidak semestinya sama maksudnya dengan "sekumpulan orang yang dihimpunkan untuk tujuan khas". Terdapat banyak tradisi yang berkait dengan upacara penyampain ijazah ini, yang paling terkenal kemungkinannya ialah lontaran topi siswazah ke udara. Majlis konvokesyen di UMS ini akan memberi penganugerahan ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda. Di luar Dewan Canselor pula telah dibina satu pentas yang agak besar dan indah untuk dijadikan tempat membuat persembahan yang terpilih. Majlis yang terulung ini turut diserikan dengan kehadiran penyanyi tanahair seperti Heliza AF5, Nadia AF6, Aizat AF5 dan Joanne untuk membuat persembahan malam yang pasti akan menghiburkan penonton. Tambahan pula, aktiviti pertandingan turut memberi ruang kepada orang luar, pelajar dan kakitangan UMS untuk mencuba nasib dan mencungkil bakat mereka dengan menawarkan pelbagai hadiah dan sijil sekiranya mereka menjadi pemenang. Selain itu, Tamu Gadang banyak membuka gerai makanan, barangan aksesori dan alat telekomunikasi, kedai bunga dan hadiah, pameran dan kempen derma dari pelajar UMS. Ramai orang awam dan pelajar UMS datang ke gerai Tamu Gadang yang begitu sibuk sekali sehinggakan menyebabkan jalan raya di UMS ini mengalami kesesakan lalu lintas.